KAEDAH PEMASANGAN JUBIN YANG BAIK
Industri pembinaan di Malaysia merupakan antara penyumbang utama kepada sektor ekonomi negara. Malaysia diiktiraf sebuah negara membangun paling pesat selain menjadi pemain ekonomi paling kompetitif dalam kalangan negara membangun di Asia berdasarkan fakta terkandung dalam Laporan Kompetitif Global. Hal ini dapat dilihat di bandar-bandar besar di negara kita aktiviti pembangunan sangat rancak berlaku ibarat cendawan tumbuh selepas hujan hingga ke masa ini.
Seiring dengan kepesatan pembangunan di negara ini, teknologi dan kualiti bahan binaan juga turut mengalami perubahan. Sebagai contoh, pembuatan jubin dan pelekat jubin juga turut mengalami revolusi baik dari segi nilai estetik mahupun fungsi. Cara pemasangan jubin moden juga tidak lagi relevan dengan menggunakan kaedah konservatif.
Kaedah pemasangan jubin yang baik melibatkan 3 faktor utama: 1) Penjagaan Sebelum Pemasangan Jubin, 2) Penjagaan Semasa Pemasangan Jubin, dan 3) Penjagaan Selepas Pemasangan Jubin.
1) Penjagaan Sebelum Pemasangan Jubin
Penjagaan Sebelum Pemasangan Jubin amat penting dititikberatkan bagi memastikan kerja-kerja pemasangan berjalan dengan lancar. Tempoh ini boleh dikatakan tempoh yang paling kritikal kerana jika ada kesilapan selepas jubin siap dipasang akan memakan kos yang tinggi untuk dibaik pulih semula.
1.1 Perkara pertama yang perlu diteliti adalah untuk memastikan warna kod jubin dan tona warna jubin tidak bercampur. Hal ini selalunya berlaku di tapak-tapak pembinaan berskala besar yang membuat pesanan jubin dalam kuantiti yang banyak. Ada kemungkinan pembekal jubin akan menghantar satu warna kod jubin tetapi dalam beberapa tona warna. Warna Kod jubin dan tona warna selalunya dicetak di bahagian tepi kotak.
Setiap tona warna jubin mewakili setiap tona yang berbeza meskipun dalam warna kod yang sama (corak yang sama). Jadi apabila terdapat 2 atau lebih tona warna dipasang dalam satu kawasan akan menyebabkan masalah ‘shading’ terjadi dan membuatkan jubin yang dipasang kelihatan seperti bertompok-tompok.
1.2 Antara cara mengawal 1 warna kod jubin dengan beberapa tona warna adalah dengan merekod kod dan tona warna jubin yang tiba ke lokasi pemasangan.
| Kod Jubin | Tona | Kuantiti | Kawasan | Unit / Tingkat | Catatan |
| P008Z | S2 | 7500 | Dinding dapur | Banglo, unit 1-6 | Baki 250 |
| P008Z | M4 | 5500 | Dinding dapur | Banglo, unit 7-9 | Baki 150 |
Contoh rekod untuk 1 kod dengan beberapa tona warna jubin
Dengan cara merekod seperti di atas kita akan dapat mengesan warna kod jubin dan tona apa yang digunakan untuk sesebuah unit bangunan tersebut selepas siap. Dengan cara ini kita dapat memudahkan kerja membaik pulih jika terdapat kerosakan pada jubin hanya dengan menggunakan jubin dengan kod dan tona yang sama.
1.3 Tip seterusnya adalah dengan menyediakan lebihan jubin bagi tujuan-tujuan baik pulih sebanyak 5% daripada kuantiti asal. Sebarang kerosakan pada jubin boleh berlaku semasa proses kerja pembinaan sedang berjalan seperti calar pada permukaan jubin, sesuatu terjatuh atas permukaan jubin yang menyebabkan jubin pecah dan kekotoran. Dengan lebihan jubin yang ada perkara seperti ini dapat diatasi.
1.4 Sebelum pemasangan dilakukan sebaik-baiknya jubin yang mahu dipasang dihamparkan sebanyak 2 atau 3 kotak di tempat yang rata. Dengan cara ini kita akan dapat membuat pengesanan awal jika terdapat kecacatan pada jubin seperti saiz tidak sekata, tona warna bertompok-tompok, dan jubin bengkok. Jubin yang silap dipasang dan perlu ditukarkan akan melibatkan kos yang tinggi seperti kos memecahkan jubin yang lama, kos membeli jubin baru, kos pelekat jubin dan kos tenaga buruh. Jika berasa seperti jubin ada masalah terus berhubung dengan konsultan pembekal jubin tersebut untuk mereka memastikan jubin yang di hantar mengikut spesifikasi dan standard yang ditetapkan.
1.5 Persediaan sebelum memulakan kerja memasang jubin adalah menyediakan peralatan yang lengkap dan sesuai dengan kerja memasang jubin.
2) Penjagaan Semasa Pemasangan Jubin
Penjagaan semasa pemasangan jubin juga tidak kurang pentingnya. Beberapa garis panduan juga telah ditetapkan bagi mengawal selia kerja-kerja pembinaan yang dilakukan untuk mencapai standard yang optimum.
2.1 Bahagian Permukaan Lantai
Permukaan lantai seharusnya rata dan bersih dari sebarang kekotoran. Permukaan lantai yang rata selain dapat menghasilkan kerja yang kemas, lantai yang rata juga dapat menjimatkan penggunaan pelekat jubin. Lantai yang bersih dari sebarang kekotoran atau pasir dapat menghasilkan lekatan yang sempurna antara jubin dan lantai. Berdasarkan Standard Malaysia MS1294: Bahagian 1: 1992, simen lantai yang siap di plaster harus dibiarkan selama 2 minggu sebelum kerja-kerja pemasangan jubin dijalankan.
2.2 Bahagian Jubin
2.2.1 Bersihkan bahagian belakang jubin. Kadang kala kita ada merasakan belakang jubin seperti berhabuk yang berwarna putih. Habuk ini dipanggil serbuk alumina yang terhasil selepas proses pembakaran jubin. Satu lapisan alumina akan diletakkan di bahagian belakang jubin sebelum proses pembakaran supaya jubin yang dibakar pada suhu yang tinggi tidak akan melekat pada gegelung yang berada di dalam relau (roller kiln).
2.2.2 Jubin yang dipasang mesti mengikut satu arah yang sama berdasarkan anak panah atau logo yang berada di belakang jubin.
Jubin yang diperbuat daripada bahan seramik akan dibakar pada suhu yang sangat tinggi sekitar 1200°C. Hal ini akan menyebabkan jubin akan sedikit bengkok semasa proses pembakaran suhu tinggi dan perkara ini sukar untuk dikawal. Walaupun begitu, apabila jubin bengkok kebiasaannya jubin ini akan bengkok dalam 1 arah yang sama. Apabila jubin dipasang mengikut anak panah, masalah yang terjadi disebabkan jubin bengkok dapat dikurangkan.
2.2.3 Kebanyakan pengedar-pengedar jubin dan pelekat jubin menyarankan supaya bukaan ruang antara jubin adalah sekurang-kurangnya 3mm. Jika jubin dipasang terlalu rapat, jubin tidak ada ruang yang cukup untuk ‘bergerak’ apabila menerima sebarang gegaran. Gegaran boleh jadi datangnya daripada penggunaan mesin berat mahupun pergerakan daripada bangunan itu sendiri (structural movement).
2.3 Bahagian Pelekat Jubin
2.3.1 Sistem pelekat jubin yang ada di pasaran pada masa ini lengkap dan boleh terus digunakan dengan hanya tambah air sahaja. Pelekat jubin mempunyai 2 kelas utama. Kelas pertama adalah C1: digunakan untuk jubin seramik (kadar serapan air 3% atau lebih), dan kelas kedua adalah C2: digunakan bagi jubin porselin (kadar serapan air kurang daripada 3%). Pelekat jubin ini perlu digunakan dengan sistem penuh, hanya campur air tanpa mencampurkan dengan bahan-bahan lain seperti simen. Sebarang penambahan bahan lain akan menyebabkan komposisi pelekat jubin terganggu, seterusnya akan membatalkan apa-apa jaminan daripada pihak pelekat jubin.
2.3.2 Menggunakan pengadun semasa proses mencampurkan pelekat jubin dan air. Ini adalah untuk mendapatkan adunan yang lebih sekata.
2.3.3 Antara kaedah yang baik dilakukan bagi pemasangan jubin adalah dengan membuat satu lapisan nipis pelekat jubin di belakang jubin. Dengan cara ini permukaan belakang jubin yang dapat diliputi pelekat jubin dengan lebih banyak. Selain itu, dengan cara ini dapat mengurangkan masalah terjadinya gelembung-gelembung udara di bawah permukaan jubin yang seterusnya akan menyebabkan ‘hollowness’.
3) Penjagaan Selepas Pemasangan Jubin
3.1 Tepung penyumbat (grout) mestilah dibersihkan dengan kadar segera setelah kerja-kerja selesai. Tepung penyumbat yang berkarakter simen adalah sukar untuk dibersihkan apabila telah kering dan berkemungkinan akan meninggalkan kesan di permukaan jubin.
3.2 Selepas pemasangan jubin selesai dilakukan, letakkan penghalang supaya tiada sesiapa yang dapat melalui kawasan pemasangan dan berisiko untuk terpijak jubin yang baru dipasang. Pelekat jubin yang siap dipasang memerlukan sekitar 48 jam untuk betul-betul kering.
3.3 Bagi memastikan permukaan jubin tidak calar atau kotor, tutup jubin yang telah siap dipasang dengan menggunakan papan lapis, kertas kraf, tikar getah atau plastik.
Kebiasaannya di tapak pembinaan kerja pemasangan jubin adalah antara yang paling awal siap berbanding kerja-kerja lain seperti pendawaian, mengecat dan pemasangan perabot. Apabila jubin sudah ditutup kemas, risiko untuk jubin tercalar atau kotor dapat dikurangkan.
3.4 Sebelum proses penyerahan kunci kepada pemilik, pihak pemaju akan memastikan unit yang akan diserahkan dalam keadaan yang bersih dan cantik. Elakkan menggunakan bahan pencuci yang mengandungi bahan asid. Hal ini kerana kita khuatir berapakah nilai ph pada asid yang kita gunakan dan berkemungkinan boleh menghakis permukaan jubin tersebut.
Oleh yang demikian, setiap kerja yang mempunyai rangka plan yang teliti akan dapat menghasilkan hasil kerja seperti yang diinginkan. Seperti penjagaan pemasangan jubin, jika dipraktikkan sebaiknya kita akan dapat mengurangkan masalah berkaitan jubin, seterusnya dapat menjimatkan masa dan kos seperti bak kata pepatah ‘adalah lebih baik mencegah, daripada merawat’.







